Pinjaman Terindah

Diary 3

 

Tiap yang  yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah juga kehidupan kita sebagai manusia yang tak mungkin kekal abadi selamanya. Namun setiap pemergian sudah pasti akan dikenang oleh kita yang masih bernyawa. Saya juga tidak terkecuali dari mengenang pemergian insan yang tersayang dari hidup saya. Pada suatu masa dahulu saya pernah kehilangan anak kesayangan saya yang baru seminggu menjengah dunia. Perasaan hati yang gundah-gulana dan remuk-rendam, hanya allah yang maha mengetahui.

 

Anak saya dilahirkan dengan masalah sacrocoxygeal teratoma iaitu sejenis tumour pada tulang belakang. Tidak siapa boleh memberi penjelasan yang jelas kenapa ianya terjadi. Besar kemungkinan kerana kerjaya saya yang berhadapan dengan pengimbas x-ray setiap hari di hospital. Namun segala-galanya adalah ketentuan ilahi. Sama sekali saya tidak menyalahkan takdir atau tugasan yang saya lakukan di hospital. Semasa bekerja saya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas, kerana tugas juga merupakan suatu amanah dari Allah.

 

Semasa hamil saya sudah merasakan gejala-gejalanya. Perut saya dua kali ganda lebih besar dari kandungan yang normal. Keadaan saya juga agak teruk dengan muntah-muntah dan keadaan tubuh yang sering kelesuan. Saya mendapat tahu bahawa anak saya mengalami masalah tumour semasa ujian imbasan ultrasound. Ketika itu saya sukar menerima kenyataan, namun suami saya banyak memberi semangat dan dorongan agar saya redha dengan dugaan Allah. Dan sewaktu usia kandungan 7 bulan, si comel di lahirkan melalui pembedahan caesarian.

 

Namun takdir ilahi memisahkan kami. Pembedahan yang dibuat untuk memisahkan tumour tersebut gagal. Dia meninggal setelah 7 hari dilahirkan. Saya dan suami menerima dengan redha takdir ini meskipun hati terasa bagai dirobek sembilu.

 

Baru-baru ini, saya menerima kunjungan seorang wanita bernama Hani. Beliau berkunjung ke klinik saya setelah dipujuk oleh suami beliau. Saya dapati Hani merupakan seorang yang amat pendiam dan pemurung. Sepatah saya bercakap, sepatah pula yang di jawabnya. “Dr, sebenarnya isteri saya ni dalam kesedihan kerana kami telah kehilangan anak kami yang berusia 5 bulan. Anak kami meninggal kerana sakit jantung. Dah lima bulan isteri saya berkeadaan sebegini. Makan minum tak lalu dan asyik menangis saja. Dah puas saya membawanya berubat. Ada juga saya bawa jumpa ustaz dan ustazah, namun tak mampu menghilangkan kesedihan hatinya” Ujar suami Hani.

 

Saya memandang Hani dengan sayu. Saya teringat pada suatu masa dahulu, saya juga pernah menerima nasib seperti Hani.

“Saya tak dapat terima Dr. Kenapa anak saya yang sakit? Saya sanggup terima sagala kesakitan asalkan anak saya hidup dan selamat.” Hani bersuara sambil air mata bergenang di pipinya.

“Dah macam-macam nasihat saya dengar. Semua tu betul tapi saya tak boleh terima kerana mereka tak faham masalah saya. Mereka tak rasa apa yang saya rasa.” katannya lagi.

 

Saya mengambil sebuah foto album gambar anak saya. Saya menunjukkan kepada Hani gambar-gambar itu dan berkata. “Saya amat memahaminya kerana saya sudah merasainya.”

Hani memeluk saya dan menangis tersedu-sedu. Saya membiarkannya menangis dan bercerita tentang perasaan hatinya. Akhirnya Hani bertemu dengan seseorang yang merasai apa yang dia rasa dan mula yakin bahawa dia mampu bangun dari kekecewaan ini.

 

“Saya tak sangka Dr benar-benar faham perasaan saya. Selama ni saya sangka hanya saya yang merasa betapa peritnya kehilangan seorang anak yang di kasihi. “Dr boleh kongsikan kepada saya apa yang Dr akan buat bila teringatkan arwah? Macam mana Dr boleh teruskan hidup dengan tabah meskipun hati terasa duka?” Hani bertanya saya.

 

Akhirnya pertemuan kami berlangsung dalam suasana yang amat positif. Hani bertanya pelbagai perkara kepada saya dan saya menjawabnya dengan jujur. Inilah pertama kali setelah enam bulan Hani  berminat untuk bangun semula dari kesedihannya. Sesi pertemuan kami berlangsung selama lebih dua jam. Bagi saya inilah tanggungjawab saya sebagai seorang wanita untuk membantu seorang wanita lain. Disini juga terletaknya nilai saya sebagai seorang doktor yang memikul tugas-tugas mengembalikan semula semangat dan jiwa seorang pesakit yang memerlukan.

 

Saya memberikan Hani beberapa jenis ubat dan vitamin untuk mengembalikan kecergasannya dan keceriaannya. Pertemuan kami sebulan selepas itu berlangsung lagi dalam suasana yang ceria, Hani semakin berubah. Ternyata beliau tidak lagi menangis selepas bertemu rakan ‘senasibnya’. Suaminya juga turut gembira dengan perubahan isteri yang tersayang. Saya bersyukur, kerana di dalam dunia ini masih ada lelaki yang baik dan prihatin mengenai isterinya.

 

Setahun kemudian Hani hamil dan melahirkan seorang anak yang comel. Beliau rajin bertemu saya untuk suntikan vaksinasi anaknya dan berkongsi pengalaman membesarkan anak dengan saya. Namun kami berdua tidak pernah melupakan kenangan lalu. Memori sedih itu tidak akan pergi jauh dari hati kami. Kami hanya mampu mengenang dan mengharap untuk bertemu semula dengan si comel yang pergi pada suatu masa dulu Allah pinjamkan sementara buat kami. Adakalanya memori sedih yang melanda kita membuat kita bangun semula dan merenung kembali bahawa di dunia ini tiada yang kekal abadi. Sebagai makhluknya kita hanya menumpang sementara hayat masih ada.

Comments are closed