Mak Cik Yam

“Doc pagi nak sarapan apa?” Tanya Puan Zainab pada saya.

“Entah la Kak Nab, semalam saya dah  beli nasi lemak kat gerai tepi sungai tapi rasanya tawar dan nasinya pun mentah. Kat kedai hujung jalan sana pun kurang sedap jugak”

“Betul la doc. Generasi sekarang buat bisnes tak macam generasi dulu. Mereka tak kisah kualiti makanan macam mana. Sebab itulah cepat gulung tikar perniagaan mereka”Sokong Puan Zainab.

“Kak Nab belilah roti canai je untuk saya”Ujar saya menempahkan makanan.

 

Setelah Kak Nab berlalu, saya membuka planner bagi melihat tugasan hari ini. Saya mempunyai satu temujanji bersama Datin Haida bagi rawatan pigmentasi pada wajahnya. Oleh kerana kesan pigmentasi terlalu banyak rawatan seminggu sekali perlu di lalui oleh beliau bermula sejak sebulan lalu. Kini kelihatan kesan-kesan pigment sudah pun hilang dan rawatan susulan kali ini merupakan yang terakhir. Pigmentasi pada kulit muka yang dipanggil melasma merupakan suatu masalah yang sangat sukar dirawat. Ia terjadi di sebabkan oleh faktor hormon dan juga panahan matahari.

 

Tiba-tiba saya ternampak satu kad jemputan berwarna merah jambu terselit di dalam planner. Cepat-cepat saya membukanya. Tertera perkataan ‘Walimatul urus’ disitu. “Jemputan kahwin siapa ni. ya?” Bisik hati saya. Pengirimnya bernama Puan Maryam Sani. “Semoga Doktor dan keluarga dapat melapangkan masa ke majlis anak mak cik” Saya membaca nota ringkas yang tercatat di bawah kad.

 

Serta-merta saya teringat kepada Mak Cik Yam. Saya mula mengenalinya, semasa mula-mula bekerja di sini. Ketika itu, saya ditugaskan di salah sebuah hospital yang besar dan sibuk di negeri Selangor. Oleh kerana hospital tersebut sangat besar dan petugas-petugas hospital sangat ramai serta suasana bekerja sentiasa sibuk, amat sukar untuk kami saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Di hospital itu juga, terdapat banyak jabatan seperti perubatan, pembedahan, sakit puan, tulang, telinga. pergigian dan banyak lagi. Jadi sukarlah bagi pekerjanya untuk berinteraksi satu sama lain.

 

Pada satu malam, saya di tugaskan untuk on-call. Apabila bertugas on-call, saya tidak pulang ke rumah. Saya tinggal di hospital sahaja memandangkan terlalu banyak kes kecemasan menjelang tengah malam. Tugas saya pula di dewan bedah merangkumi banyak disiplin. Bukan saja bagi kes kecemasan yang melibatkan pembedahan caesarian namun kes-kes lain juga seperti appendicitis dan patah tulang juga perlu di bawa ke dewan bedah dengan segera.

 

Entah mengapa malam itu saya kurang ‘bernasib baik’. Dari siang sampai ke malam, ada saja kes kecemasan yang mesti di beri perhatian segera. Hal ini membuatkan saya tidak sempat hendak pergi ke kantin atau ‘menapau’ makanan dari warung kegemaran saya yang berdekatan. Saya terpaksa mengadap juadah yang di sediakan oleh tukang masak hospital. Saya kurang gemar makan makanan hospital disebabkan menunya yang seringkali sama saja pada hari saya on-call iaitu pada hari Selasa.

 

Tetapi, kali ini alangkah terperanjatnya saya apabila membuka mangkuk tingkat dan melihat sajian yang sungguh istimewa sekali. Di dalamnya terdapat nasi, lauk, sambal dan juga kerabu kegemaran saya. Sedikit kuih juga dibekalkan kepada saya. Selama ini saya jarang sekali memberi perhatian kepada juadah yang di sediakan tukang masak hospital kerana saya lebih suka makanan yang di beli sendiri, dimana saya boleh memilih mengikut citarasa saya. Tetapi apabila melihat sajian yang istimewa ini, hati saya dapat merasakan keikhlasan pada diri tukang masak ini. Sejak itu, saya tidak lagi ke warung. Sertiap kali bertugas on-call, saya ternanti-nanti sajian dari tukang masak hospital dan ternyata sajiannya amat istimewa sekali.dan sering bertukar-tukar menunya.

 

Pada satu hari, saya tergerak untuk  berkunjung ke dapur hospital. Saya bertanya siapakah gerangan orang yang memasak makanan istimewa setiap kali saya bertugas “On-call”. Saya diperkenalkan dengan Mak Cik Yam. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan memberitahu bahawa saya sangat menyukai cara masakannya. “Mak Cik kesian tengok Dr kerja siang malam tolong orang. Kadangkala tu sampai tak sempat nak makan. Kalau ikut menu hospital, sudah tentu Dr tak lalu makan. Jadi saya tambahlah dengan lauk yang saya masak dari rumah. Alhamdulillah sejak saya buat macam tu barulah habis makanan tu. Kalau tak makanan tu tak luak pun.” Ujarnya bersungguh-sungguh.

 

Barulah saya faham hati wanita mulia ini. Dia bersusah payah setiap hari agar Doktor yang bertugas malam dapat menikmati juadah yang sedap. Berapa ramaikah diantara kita yang bersikap prihatin kepada orang lain seperti Mak Cik Yam? Mak Cik Yam tidak senang melihat makanan yang dibekalkan kepada pelanggannya tak habis dimakan. Jadi dia bekerja keras sedikit dan menambah sesuatu yang tiada di dalam menu. Kalau kita fikir secara logik, Mak Cik Yam hanya bekerja sebagai tukang masak didapur hospital. Pekerjaan yang lebih yang dilakukannya tak mungkin memberi sebarang pulangan material kepadanya. Dia melakukannya demi rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada doktor-doktor dihospital ini.

 

Apa yang Mak Cik Yam lakukan turut memberi impak kepada teman-teman seperjuangan saya yang lain. Tak hairanlah semasa hari raya, rumahnya dipenuhi oleh kami semua yang menghargai budi baiknya kepada kami selama ini. Kesan daripada sikap Mak Cik Yam yang murah hati, menjadikan orang lain juga pemurah dan ‘caring’ antara satu sama lain. Kini setelah 15 tahun meninggalkan dunia penjawatan awam, hati saya masih terkenangkan Mak Cik Yam dan sambalnya yang istimewa. Terima kasih mak cik kerana menjadikan hari-hari on-call saya sangat istimewa sekali.

 

Saya merenung kad jemputan perkahwinan anak Mak Cik Yam. Tertera tarikh 12 Feb 2010 (Sabtu). Hati saya terasa rindu tiba-tiba kepadanya dan tak sabar untuk bertemunya.

Comments are closed