MASALAH BIBIR KURANG MENARIK

ARKIB : 06/06/2010

SAHABAT saya datang ke klinik mengadu bentuk bibirnya yang tampak jatuh dan tidak penuh. Berkali-kali dia bertanya mengapa keadaan seperti itu berlaku. Saya memberinya cermin sambil berkata: ‘‘Cuba lihat kiri kanan bibir Nor, ada garisan.’’
Sahabat saya menjawab: ‘‘Setiap kali melihat cermin saya memang ternampak garisan itu, dan saya berasa rendah diri serta serba kekurangan.’’
Lantas dia meluahkan hasratnya untuk memperbaiki kekurangan tersebut agar nampak berseri. Seperkara lagi dia sering dilihat sukar tersenyum walaupun sebenarnya dia selalu senyum apabila disapa. Kekurangan itu juga menyebabkan Nor sering menolak apabila diajak bergambar kerana dia nampak tidak lawa. Pada hal adakalanya kami cuti bersama, aktiviti wajib yang menjadi kenangan sepanjang hayat semestinya bergambar. Masalah tersebut menjadikannya kurang keyakinan diri dan rendah self esteem.
Menurut Nor lagi sewaktu usianya dalam lingkungan 20-an dan 30-an bibirnya agak comel dan menarik namun selepas menganjak usia bibirnya seolah-olah mengecut pula.
‘‘Bila pakai gincu pun tetap tak dapat menutupi kekurangan bibir saya,’’ adu Nor lagi.
Bibir yang menawan merupakan aset bagi seorang wanita. Siapa yang tidak kenal Angelina Jolie. Dia dikatakan memiliki sepasang bibir yang dianggap sempurna. Bila disebut namanya sahaja sudah tentu kita akan terbayang bibirnya yang tebal dan sedikit terjuih itu. Tabloid juga sering mengagung-agungkan bibir pelakon wanita tersebut yang dianggap tidak ada tandingannya.
Syarikat kosmetik pula tidak putus mempromosikan warna dan jenis lipstik yang berkilau semata-mata mahu memikat hati wanita agar menghias bibir mereka. Bayangkan seorang wanita yang kemas berbedak, jika tidak mengenakan lipstik sudah pasti penampilannya terjejas. Tidak sempurna kemasan wajah seseorang tanpa lipstik yang tercalit indah pada bibir.

Jadi jelaslah kepada kita bahawa bibir juga menjadi titik tumpu pada wajah seseorang.
Bibir yang sihat berwarna sedikit kemerahan dan kelihatan lembap meskipun tidak disapu sebarang losen atau pelembap bibir. Kulit bibir yang tipis akan berwarna sekata. Apabila usia meningkat, warna bibir turut berubah menjadi kusam dan pigmentasi mula terhasil.
Seorang rakan yang bertugas sebagai jurusolek artis memberitahu, apabila melakukan tata rias dia amat mengambil berat perihal bentuk dan warna bibir. Bentuk bibir yang mongel sememangnya

cantik bagi iklan makanan yang lazat, manakala bibir tipis dan serius sesuai bagi iklan pakaian yang sarat dengan aksesori.
Menurutnya dia akan melukis dahulu bentuk bibir yang sesuai dengan tugasannya pada hari itu dan mengenakan warna yang sesuai sebelum model tersebut dirakam gambarnya.
Masalah bibir
Masalah pada bibir yang sering terjadi adalah kulit bibir kering dan mengelupas. Ia biasanya berlaku apabila kita alah kepada gincu atau losen tertentu. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan. Makan pun menjadi sukar akibat bibir pecah.
Saya sering didatangi pesakit yang bermasalah untuk makan akibat bibirnya pecah. Bila kulit pada bibir bermasalah sudah pasti seseorang tidak dapat mengenakan gincu kegemarannya. Jika disapu gincu kerap kali masalah menjadi lebih teruk dan bibir semakin kering serta gatal. Ini menimbulkan rasa kecewa kepada wanita yang gemar berhias kerana tanpa lipstik sudah tentu mereka berasa tidak sempurna.
Masalah lain adalah ulser mulut iaitu luka kecil dalam mulut. Tiada sebab yang pasti mengapa ia berlaku. Teori mengatakan ia berpunca dari kekurangan Vitamin C dan sesetengah pula menyebut ia disebabkn jangkitan virus. Tidak kurang juga yang berpendapat ia berpunca daripada stres sebab itu ia juga dikenali sebagai ulcer stress. Agak malang bagi mereka yang sering mendapat masalah ini.
Rawatan
Saya sering mencadangkan pengambilan Vitamin C yang banyak dan ubat sapuan untuk menahan sakit serta mengurangkan keradangan apabila masalah ini terjadi. Terdapat juga lips conditioner mengandungi vitamin dan pelembap tinggi yang baik untuk bibir kita. Ada kalanya ulser menjadi serius dan antibiotik diperlukan. Ulser yang berulang dan merebak

adakalanya memerlukan rawatan di hospital. Jika ini berlaku kepada kanak-kanak lebih berbahaya kerana mereka tidak dapat makan dan minum. Ini mengganggu nutrisi tubuhnya. Jika ini berlaku segeralah mendapatkan rawatan doktor.
Apabila gejala menjadi serius, adakalanya ia turut menyebabkan masalah pada gusi dan halitosis iaitu mulut yang berbau. Bagi kes sebegini saya mencadangkan pengambilan vitamin secara suntikan. Ia lebih cepat bertindak serta kita dapat memberikan dos yang sebenar dengan tepat.
Apabila kurang vitamin, bahagian tepi mulut atau dipanggil angle of mouth (sudut mulut) akan pecah. Hal ini biasa juga saya kesan pada kanak-kanak yang kurang vitamin dan apabila diberikan tambahan vitamin ia sembuh dengan cepat.
Inginkan bibir menawan?
Apabila usia kita meningkat, kandungan kolagen semula jadi dalam bibir turut berkurangan. Bibir menjadi kecut dan tidak mongel. Suntikan filler jenis hyaluronic mampu membuat bibir tampak menarik dan mongel semula.

Garisan pada tepi bibir yang melengkung ke bawah menjadikan wajah seseorang tampak muram dan kurang seri. Dalam kata lain, ia membuatkan seseorang tampak lebih tua daripada usia sebenar. Garisan di tepi bibir dinamakan marionette lines dan ia boleh dirawat juga dengan suntikan hyaluronic filler.
Bagaimana Filler dilakukan pada bibir?
Mula-mula kawasan sekitar bibir dibersihkan dan disuntik ubat bius bagi menjadikan ia kebas. Selepas itu filler akan dimasukkan dengan kaedah suntikan ke dalam bibir. Hasilnya bibir akan tampak lebih cantik dan menawan.
Teknik mengangkat semula bibir boleh digunakan bagi menjadikan bibir tampak lawa dan menarik semula.
Penggunaan filler banyak membantu menjadikan wajah berseri semula. Pada usia 40-an adalah sesuai bagi kita melakukan rawatan filler mencantikkan bibir. Pada waktu ini kekurangan hormon dan kolagen sangatlah ketara. Bergantung kepada jenis filler biasanya kaedah ini mampu bertahan untuk tempoh satu hingga lima tahun.

Comments are closed